Isnin, 6 Mei 2013

Sinopsis Drama Kisah Cinta,Slot Lestary Tv3

Hai, sebuah drama terbaru bakal menggantikan Cinta Qaseh iaitu Kisah Cinta arahan Bahri Umar manakala skripnya oleh Eenaz Mokhtar dan Farah Bani.Drama 13 Episod terbitan BZ2121 Productions (Zizie Ezzete) ini akan bermula pada 7 Mei 2013 di Slot Lestary Tv3.

Para Pelakon: Shaheizy Sam (Shah), Nur Fazura (Azalea), Nadia Aqilah (Juli), Ungku Ismail (Huzir), Nazim Othman (Azhari), Fazlina Ahmad Daud (Marina), Arash Mohd (Zainal), dan Kuza (Zaharah) 

Sinopsis :

Kisah Cinta berkisar tentang cinta yang berputik dari pertemuan yang tidak diingini.Segalanya bermula semasa kemalangan tragis pada malam tahun baru 2013 di mana Zainal dan Zaharah maut selepas kereta mereka dirempuh dari belakang. 

Konflik timbul sewaktu pengurusan tuntutan mayat oleh waris si mati apabila Azalea, anak perempuan Zainal dan Shah, anak lelaki Zaharah melaporkan yang ibu bapa mereka bukan pasangan suami isteri. Malah, Azalea tidak pernah mengenali Zaharah dan Shah tidak pernah mengenali Zainal. Dalam erti kata lain, Shah dan Azalea tidak mengenali satu sama lain.

Setelah selesai segala urusan tuntutan jenazah dan kedua pasangan ini telahpun disemadikan, Azalea dan Shah mula mencari jawapan untuk segala persoalan dan kemusykilan yang timbul daripada kejadian tragis yang menimpa ibu bapa mereka ini. Akhirnya, mereka membenci antara satu sama lain selepas menemui jalan buntu dan mula menuding jari menyalahkan diri masing-masing atas kejadian yang berlaku.

Semasa mengemas barang-barang peninggalan arwah ibunya, Shah terjumpa sebuah kotak yang mengandungi surat-surat lama milik Zainal dan ibunya. Asalnya Shah mahu membuang sahaja surat-surat tersebut tetapi dihalang oleh Azalea. Menurut Azalea, dia juga menjumpai surat-surat antara bapanya dan Zaharah. Azalea ingin tahu kesinambungan surat-surat tersebut. Baginya, ini merupakan peluang keemasan untuk menyelesaikan semua tanda tanya. Shah jelas tidak berminat. Dia takut kebenaran akan melukakan hati semua pihak.

Setelah dipujuk Azalea, Shah akur untuk setuju. Pasangan ini cuba menyelami kisah sebenar Zainal dan Zaharah berpadukan kronologi cerita yang dapat mereka ungkapkan dari surat-surat tersebut. Mereka mula menjejak kaki ke tempat-tempat yang  tertulis, mencari nama-nama yang disebut, memahami perkara-perkara yang diceritakan. Satu-persatu kisah terungkai. Dalam tidak sedar, Azalea dan Shah mula mencipta kisah mereka sendiri di atas perjalanan ibu bapa mereka.

Walaupun begitu, perjalanan mereka bukanlah semudah itu. Pelbagai halangan yang harus ditempuh. Kekasih Azalea, Huzir kurang senang dengan situasi ini. Marina, ibu Azalea juga tidak suka dengan usaha anak perempuannya. Baginya, Zaharah adalah perempuan simpanan suaminya dan Shah seperti ibunya, bukanlah orang yang baik. Shah pula terpaksa mengorbankan waktu kerja sehingga dibuang kerja. Misi mereka untuk mencari jawapan terpaksa dihentikan. Hidup dan realiti mereka perlu diteruskan.

Kembali ke kehidupan sebenar memberi makna baru pada hubungan Azalea dan Shah.  Mereka mula saling merindui. Apakah pasangan ini cukup tabah untuk melawan situasi dan emosi? Sementara itu, satu kronologi kisah cinta ibu bapa mereka terungkai di mana ada kebarangkalian bahawa mereka adalah adik beradik. Adakah ini kenyataan yang harus mereka terima? Atau masih ada lagi jawapan yang tertinggal?
(sumber : www.tv3.com.my)

Drama Kisah Cinta yang bersiaran sebanyak 13 episod akan menemui penonton setia Slot Lestary bermula pada 7 Mei, setiap hari Selasa, jam 9 malam di Tv3.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Entri Terkini...

get this widget here

Ariana Rose (The Wedding Breaker)

Ariana Rose (The Wedding Breaker)
Drama Adaptasi Novel