Selasa, 26 Mac 2013

Sinopsis Drama Duri Di Hati,Slot Azalea Tv3


Hai,saksikan sebuah drama terbaru di slot Azalea berjudul Duri Di Hati arahan Michael Ang manakala skrip oleh Mazelan Manan.Drama ini menggantikan Kerana Sarah.Antara pelakonnya ialah Amar Asyraf, Hairi Safwan, Marsha Londoh, Adam Shah, Dato’ Jalaluddin Hassan, Tengku Sarina (Kuna), Faralyna dan ramai lagi.

Sinopsis: Drama bersiri 20 episod ini berkisar tentang seorang kanak-kanak bernama Alif (Amar Asyraf) yang menjalani kehidupan yang daif di lorong yang terkenal dengan aktiviti tidak bermoral bersama ibu dan abangnya, Rizal (Hairi Safwan). Meskipun Alif dan Rizal sering dipandang hina oleh masyarakat, ibu mereka sering memberi didikan sempurna buat kedua-dua anaknya.

Alif dan Rizal sentiasa mengasihi ibu mereka dan berjanji akan menjaganya hingga ke akhir hayat. Namun kebahagian mereka bertiga tidak berpanjangan apabila hubungan di antara anak dan ibu itu dirampas oleh si hati yang penuh dengan hasad dendam. Rashid (Adam Shah) yang ingin melanggan ibu Alif telah membelasah Alif tanpa belas kasihan dan kemudian mencampaknya ke dalam sungai. Apakah yang telah berlaku sebenarnya hingga menyebabkan Rashid bertindak sebegitu terhadap Alif?


Ajal dan maut sememangnya di tangan Tuhan. Alif telah diselamatkan oleh seorang pemandu bernama Jalal. Setelah Alif sembuh, Jalal dan isterinya cuba mencari keluarga Alif namun dek kerana berasa malu dengan latar belakangnya, Alif hanya menyatakan bahawa dia telah ditinggalkan oleh keluarganya dan hidup sebagai anak jalanan.


Sementara itu, majikan Jalal iaitu Dato’ Hamid (Dato’ Jalaluddin Hassan) dan Datin Suraya (Kuna) berasa sunyi dengan ketiadaan anak mereka yang pergi melanjutkan pelajaran ke luar negara. Akhirnya Jalal menyarankan majikannya mengambil Alif sebagai anak angkat. Dato’ Hamid dan Datin Suraya yang tertarik dengan personaliti Alif terus membawa kanak-kanak itu pulang ke rumah mereka.


Ketika Alif memasuki rumah yang tersergam indah itu, alangkah terkejutnya dia apabila melihat gambar Rashid. Rupa-rupanya Rashid adalah anak lelaki kepada ibu bapa angkatnya itu. Ingatan Alif kembali mengimbau terhadap perbuatan kejam Rashid. Dendam Alif mula menyala terhadap Rashid meskipun dia dilayan dengan penuh kasih sayang oleh ibu bapa angkatnya.


Masa terus berputar dan setelah sepuluh tahun berhijrah di negara orang kini Rashid kembali ke tanah air. Jadi inilah kali pertama Rashid bertemu Alif selepas kejadian suatu ketika dahulu. Ternyata rupa paras Alif yang sudah meningkat dewasa membuatkan Rashid tidak mengenali siapakah Alif dan ini memudahkan Alif untuk membalas dendam terhadap Rashid.


Hubungan Alif dan Rashid semakin akrab sehinggakan Rashid tidak sangsi untuk berkongsi rahsia dengan adik angkatnya itu. Termasuklah kegiatan haram yang dilakukannya semasa di luar negara. Tanpa Rashid sedari, segala yang dikongsikan bersama Alif sebenarnya memerangkap dirinya sendiri. Alif menyusun strategi dengan begitu baik sehingga Rashid jatuh di tangan pihak berkuasa.


Setelah strategi Alif mengenakan Rashid berjaya, Alif diberi kuasa untuk mengedalikan syarikat milik bapa angkatnya. Oleh kerana Alif masih mentah untuk mengendalikan perniagaan bapa angkatnya itu, dia dibantu oleh Rizal, salah seorang pekerja yang dipercayai oleh Dato’ Hamid. Hakikatnya Rizal adalah abang kandung Alif yang pernah ditinggalnya suatu ketika dahulu. Namun, Alif tidak menyedarinya kerana raut wajah abangnya itu sudah berubah.


Sementara itu, kehidupan Alif kini bukan sahaja dihadiri oleh abang kandungnya malah bekas kekasihnya Ana (Marsha Londoh) turut kembali ke dalam kehidupannya apabila Ana bekerja di syarikat Alif sebagai akauntan syarikat. Sikap dan tarikan yang ada pada Ana membuatkan Alif jatuh hati padanya sekali lagi. Manakala ianya berbeza buat Ana apabila dia berusaha memastikan dirinya tidak akan terperangkap dengan cinta Alif.


Di sebalik pertolongan yang dihulurkan oleh Rizal dan Ana sebenarnya mereka berdua mempunyai komplot untuk menjatuhkan Alif. Mengapakah Rizal bertindak sedemikian sedangkan seorang abang seharusnya melindungi adiknya? Apakah yang telah Alif lakukan sebelum ini kepada Ana sehingga gadis itu menyimpan dendam terhadapnya? Adakah janji yang pernah dimungkiri oleh Alif terhadap ibu dan abangnya, Rizal kini memburunya untuk menuntut keadilan?
(Sumber: Galaksi Media)


Saksikan drama Duri Di Hati terbitan Pena Creative Sdn Bhd yang bersiaran sebanyak 20 episod,setiap Isnin hingga Khamis,Jam 4 petang di Slot Azalea Tv3.

Berikut Lagu Tema Duri Di Hati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Entri Terkini...

get this widget here

Ariana Rose (The Wedding Breaker)

Ariana Rose (The Wedding Breaker)
Drama Adaptasi Novel